KEHADIRAN Datuk ND Lala ketika majlis pertunangan anaknya, Shila Amzah semalam, mencuri tumpuan ramai susulan kemelut yang berlaku dalam rumahtangga pelakon veteran berkenaan, baru-baru ini.
ND Lala yang hadir dengan menyarung sut berwarna coklat dilihat sempat merakamkan foto bersama-sama keluarganya termasuk isteri, Datin Fauziah Sarman yang berdiri bersebelahannya.
Kelibat ND Lala di majlis pertunangan Shila dan pasangannya, Ubai MZ, 25, dapat dilihat menerusi perkongsian foto di Instagram Story anak bongsunya, Syada Amzah.
Perkongsian foto itu didapati menarik perhatian netizen terutama di TikTok yang gembira melihat pasangan suami isteri berkenaan bersatu kembali.
Syada dalam hantaran sama turut mengucapkan tahniah kepada pasangan itu sempena hari pertunangan kakaknya.
“Belum boleh ucap selamat datang ke keluarga kami. Kita hanya ucapkan tahniah kepada pasangan merpati dua sejoli Shila dan Ubai. Tak nak panggil abang,” tulisnya.
Sebelum ini, Syada pernah menulis surat terbuka buat bapanya, selepas mendakwa tidak punyai akses untuk berhubung sesama mereka.
Pada 1 April lalu, Fauziah memuat naik foto dan nama seorang wanita yang dipercayai individu perosak rumah tangganya dengan ND Lala.
Kemudian, pada 3 April, Fauziah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi difahamkan untuk tujuan memfailkan penceraian. Bagaimanapun, berita itu dinafikan Syada.
ND Lala mendirikan rumah tangga bersama Fauziah pada 1989 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Shila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28 dan Syada. – Malaysiapost