KEDUDUKAN PAS yang dilihat sebagai parti dominan dalam memperjuangkan Islam di negara ini menjadi antara sebab Tan Sri Annuar Musa menyertai parti berkenaan.
Bekas Setiausaha Agung Umno itu, berkata berbanding Umno, PAS konsisten serta tidak mempunyai dasar-dasar perjuangan yang samar dan ragu dalam memperjuangkan Islam.
Justeru, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu mendakwa atas sebab itu beliau memilih PAS untuk meneruskan karier politiknya selepas dipecat Umno, Disember lalu.
“Umno kini bukan lagi sebuah parti yang didokong oleh majoriti rakyat, pada PRU13 hingga PRU15 dua juta pengundi Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah meninggalkan parti itu.
“Umno bukan lagi kelompok teras dalam mendokong majoriti sokongan orang Melayu dan Islam. Justeru PAS adalah parti yang konsisten dalam memperjuangan nilai-nilai yang dituntut oleh syariah,” katanya.
Annuar yang mengesahkan sudah memohon untuk menyertai PAS baru-baru ini, memaklumkan beliau masih menunggu kelulusan untuk menyertai parti itu.
Jelasnya, beliau menawarkan diri untuk menyertai PAS tanpa sebarang rundingan, selain demi perjuangan bangsa dan agama.
Dalam pada itu, Annuar berkata, beliau redha dipecat Umno pada Disember tahun lalu, keadaan itu sekali gus memaksanya untuk mencari landasan politik baru kerana belum masanya beliau bersara daripada politik.
Dalam perkembangan sama, Annuar berpandangan Umno kini bukan lagi menjadi parti tunjang kaum Melayu, malah ia hanya sebagai parti pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan.
Disember lalu, Annuar yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh, menjadi antara tiga pemimpin Umno yang dipecat daripada parti itu.
Pemecatan itu dibuat kerana kelantangan Annuar kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, khususnya berkaitan jajaran baharu antara BN serta Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost