Shereen terus gegar Amerika Syarikat

PELARI negara, Shereen Samson Vallabouy terus menambah koleksi kejuaraan selepas menjuarai acara 400 meter (m) wanita pada Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Nasional (NCAA) di Pueblo, Colorado, hari ini.

Shereen yang beraksi untuk Winona State University berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 52.74 saat (s).

Pingat perak milik pelumba Azusa Pacific, Alayna Verner dengan catatan masa 52.78 manakala gangsa diraih atlet West Texas A&M, Corrsia Perry (53.39s).

Beliau yang menggalas cabaran negara pada Sukan SEA Kemboja baru-baru ini juga nyata berada dalam kelas tersendiri apabila menepati ramalan memenangi pingat emas acara 400m selepas merekodkan 52.53s.

Pada Mac tahun lepas, Shereen mula mencuri tumpuan apabila berjaya meleburkan rekod kebangsaan 400m dalam dewan milik Noraseela Mohd Khalid (54.58s) yang dicipta pada 2006 dengan catatan masa 53.79s.

Beliau kemudian memperbaharui rekod berkenaan dengan catatan 53.47s ketika Kejohanan Bearson Gathje Classics di Minnesota, Januari lepas sebelum sekali lagi membuat kejutan pada Kejohanan Olahraga Jemputan Lewis Illinois, Chicago dengan catatan 52.87 saat (s) pada Februari dengan memenangi pingat emas.

Shereen kemudiannya terus menampilkan aksi terbaik apabila sekali lagi menggenggam emas pada Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II NCAA di Virginia Beach, Virginia, dengan merekodkan 52.27s pada bulan lepas. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights