Tawaran sertai kerajaan untuk pecah belahkan PN – Razali

PARTI Bersatu menyifatkan tawaran kepada PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai strategi memecahbelahkan gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris mendakwa, parti dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan cuba sedaya upaya memisahkan parti komponen PN terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Itu strategi beliau (Anwar). Tetapi apabila Hadi ‘sendal’ dengan prinsip, sukar sikit nak masuk,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

Razali mengulas pendedahan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan pihaknya dihubungi beberapa kali oleh ‘orang tertentu’ yang bertindak menawarkan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Razali berkata, pihaknya tiada masalah sekiranya Abdul Hadi ingin mengadakan pertemuan dengan mana-mana pemimpin termasuk Anwar namun ia perlua dilakukan tanpa membelakangkan prinsip PN.

“Sebagai ketua parti, memang beliau layak jumpa sesiapa pun…sebab (dari segi) politik, Hadi subjektif dan (tindakannya) penuh demokrasi,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bagaimanapun menafikan wujud tawaran disebut Abdul Hadi itu sebaliknya meminta PAS terus bekerjasama dengan Bersatu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights