SEBUAH kapal pengangkut yang berdaftar di Fuzhou, China ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili, Johor selepas didapati bersauh tanpa kebenaran.
Kapal dikendalikan 32 kru lelaki termasuk nakhoda itu ditahan pada jam 12.45 tengah hari semalam ketika bersauh di kedudukan 20.1 batu nautika timur Tanjung Siang.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata kapal itu gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia ketika diperiksa bot ronda Maritim Malaysia.
“Hasil pemeriksaan, kapal tersebut dikendalikan 32 kru lelaki termasuk nakhoda terdiri daripada 21 warga China, 10 warga Bangladesh dan seorang warga Malaysia berusia di antara 23 hingga 57 tahun.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kapal mendapati terdapat besi buruk dan telah menjumpai peluru meriam disyaki mempunyai kaitan kes penemuan ‘Unexploded Ordnance’ (UXO) di Tanjung Belungkor pada 19 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
“Maritim Malaysia juga akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Warisan Negara untuk mengenal pasti peluru yang dijumpai di atas kapal tersebut.
“Peluru itu disyaki berasal daripada peluru zaman perang dunia kedua,” katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memantau dan memastikan perairan Johor Timur bebas daripada segala aktiviti yang menyalahi undang-undang serta tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan yang lebih tegas.- Malaysiapost