KERAJAAN Perpaduan menyatakan komitmen dalam kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain menyalurkan pelbagai peruntukan kepada pasukan keselamatan negara itu.
Komitmen berkenaan dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman yang melakukan kunjungan hormat di pejabat beliau hari ini.

“Saya nyatakan komitmen Kerajaan Perpaduan berkaitan kebajikan anggota ATM selain menyalurkan peruntukan untuk kos membaik pulih kediaman dan kuarters, khasnya yang daif.
“Hatta, saya ingatkan untuk sentiasa menjaga kebajikan anggota terutama memastikan akses terhadap pendidikan yang berkualiti dikalangan anak-anak anggota ATM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA ’23) beliau telah menyentuh mengenai kebimbangan akan kesiapsiagaan aset pertahanan negara.
“Saya singgung kebimbangan akan kesiapsiagaan aset pertahanan negara yang disifatkan agak ketinggalan ketimbang perkembangan aset pertahanan negara jiran lain.
“Moga ketumbukan badan pertahanan negara terus utuh dalam memastikan keselamatan rakyat berada di tahap yang terbaik,” katanya. – Malaysiapost