HANYA kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan pusat mampu menyelesaikan masalah air di Kedah, dakwa Syed Hafiz Syed Mustapa.
Ketua Umno Bahagian Alor Setar itu berkata, kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai isu gangguan bekalan air di negeri itu di bawah tanggungjawab kerajaan pusat sepatutnya telah membuka mata rakyat Kedah agar kerajaan negeri wajib selari dengan parti yang memerintah kerajaan pusat.
Menurutnya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu menafikan pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) bertanggungjawab dalam isu kegagalan menutup pintu baraj Sungai Muda yang rosak baru-baru ini.
“MB (Menteri Besar) kata bukan isu SADA tapi bawah JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) iaitu kerajaan pusat bukan kerajaan negeri.
“Dia (Sanusi) kata begitu. Penyokong dia buat (penjelasan) dalam TikTok. Kalau kita dengar TikTok tu, kita percaya dah.
“Jadi, kalau kita nak selesai semua perkara itu (termasuk masalah air), kita harus bersama Kerajaan Persekutuan, kerajaan Madani.
“Sebabnya, dah dia kata ini bukan bawah tanggungjawab kerajaan negeri,” katanya dipetik Harapandaily, hari ini.
Pada 17 Mei lalu, Sanusi mendakwa, berlaku kecuaian di pihak Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) apabila gagal menutup satu daripada pintu baraj Sungai Muda yang rosak sehingga menyebabkan paras sungai itu turun mendadak.
Katanya, pihak SADA sudah memaklumkan kepada pihak berkenaan berkaitan penyusutan paras Sungai Muda pada jam 10 malam, 14 Mei, dan jam 12 tengah malam 15 Mei lalu.
Menurut Sanusi, apa yang dikesalkan tindakan menutup pintu baraj yang rosak secara manual hanya dibuat petugas PLSM pada Isnin (15 Mei), jam 7 pagi iaitu selepas ia terbuka selama 11 jam.
Justeru,Syed Hafiz menyeru rakyat Kedah memastikan hasrat ‘Kalih Bagi Sama’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tidak lama lagi kerana menyifatkan Sanusi gagal mentadbir dan menjana ekonomi negeri.
“Kita ada banyak Exco dalam kerajaan negeri. Nampak tak peranan Exco-exco yang ada dalam kerajaan negeri hari ini? Tiada.
“Peranan untuk membantu Menteri Besar ni, siapa? Exco-exco inilah. Kalau Exco sendiri tidak membantu (Menteri Besar)…
“Apa Exco luar bandar buat? Apa Exco kerajaan tempatan buat? Apa Exco pertanian buat?
“Semua salahkan Kerajaan Pusat. Kalau tidak mampu mengurus tadbir dan menjana ekonomi negeri, kita harus kalih bagi sama. Itu harus kita buat,” katanya. – Malaysiapost