PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pelantikan Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sebagai Pengerusi Kumpulan PNB berkuatkuasa 1 Jun ini.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Ahmad Zulqarnain Onn, memaklumkan pihak lembaga pengarah dan warga PNB berbesar hati mengalu-alukan Raja Arshad ke PNB.
Menurutnya, pelantikan itu membawa bersama-sama pengalaman luas beliau dalam pengawasan syarikat dan institusi.
“Kami menantikan kepimpinan beliau seiring pelaksanaan pelan strategik PNB dan memenuhi mandat kami dalam meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Raja Arshad adalah Pengerusi Ekuiti Nasional Berhad, Icon Offshore Berhad dan Bumi Armada Berhad serta merupakan bekas pengarah Maxis Berhad dan Khazanah Nasional Berhad.
Beliau juga bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dan Pengerusi Pasukan Kepimpinan PwC Asia 7.
Semasa krisis kewangan Asia 1997, Raja Arshad dilantik sebagai Pengerusi Danamodal Nasional Berhad, salah satu daripada tiga syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menguruskan krisis.
Beliau dilantik sebagai Pengerusi pertama Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia dan di peringkat antarabangsa, beliau pernah menganggotai Standards Advisory Council kepada International Accounting Standards Board dan ahli Lembaga Global International Financial Reporting Standards (IFRS) PwC.
Beliau telah berkhidmat sebagai anggota Suruhanjaya Sekuriti semasa ia mula-mula ditubuhkan dan pernah menganggotai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Raja Arshad yang juga Canselor Universiti Selangor, terlibat secara aktif dengan beberapa institusi kebajikan dengan mempengerusikan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor dan Yayasan Amir.
Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan DayaDiri. – Malaysiapost