SEKRETARIAT Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia (SPIIM) SPIIM menyokong penuh usaha Kerajaan Perpaduan menyegerakan tindakan mengemaskini arahan pentadbiran dan pekeliling berhubung penguatkuasaan kalimah Allah.
Dalam satu kenyataan hari ini, SPIIM berpendapat tindakan itu perlu agar tidak berlaku lagi isu dan kes mahkamah seumpama kes Jill Ireland yang membawa masuk ke negara ini cakera pada (CD) bertulis kalimah Allah pada tajuknya.
“SPIIM turut menjunjung titah Raja-raja Melayu berhubung kalimah Allah serta menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 dan Mahkamah Persekutuan pada 2014 bahawa kalimah Allah adalah khusus untuk umat Islam.
“SPIIM turut menyeru semua pihak supaya meneruskan usaha-usaha berdakwah bagi memupuk masyarakat Madani yang membawa mesej Rahmah dan menolak kelompok yang memecahbelahkan masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, SPIIM yang mengadakan mesyuarat kali pertama hari ini di Bilik Mesyuarat Tingkat 39 Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) telah memperakui tiga objektif.
Objektif berkenaan adalah, menjamin dan mengukuhkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dalam pentadbiran dan pengurusan negara.
“Memperkasakan perpaduan dan kesatuan umat Islam di Malaysia sebagai asas kerukunan bernegara dan menyuburkan keharmonian bermasyarakat di kalangan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk, berbilang agama dan kaum,” katanya.
Sementara itu, SPIIM akan mengadakan Konvensyen Perpaduan Ilmuwan Islam dalam masa terdekat bagi menghimpunkan alim ulama dan ilmuwan Islam bertujuan memperkasakan agenda Islam dalam kerangka Malaysia Madani.
Mesyuarat hari ini dihadiri Pengerusi Bersama SPIIM, Datuk Dusuki Ahmad; Datuk Seri Ahmad Awang dan Amidi Abdul Manan.
Ahli mesyuarat pula terdiri daripada Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri, Kamal Nazmi Kamaruddin dan Mohd Edrus Ab Rahman mewakili Umno.
Wakil parti Amanah pula adalah Datuk Abd Ghani Samsudin, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ahmad Munsif Ismail, manakala PKR diwakili Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Muhamad Muszaki Mohd Ozir. – Malaysiapost