PN perlu poster boy MB Selangor lebih berwibawa

Azmi Hassan

SEPERTI kata perpatah bahasa Inggeris, jika anda tidak senang dengan kandungan pesanan, hapuskan pembawa pesanan tersebut. Maksudnya dalam senario politik lebih mudah untuk menyerang karektor individu dari menyerang kandungan maklumat yang cuba disampaikan.

Contoh paling ketara adalah serangan peribadi terhadap Ketua Pengarah J-KOM Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff kerana ada pihak yang kurang selesa dengan nasihat yang cuba disampaikan oleh agensi kerajaan tersebut.

Begitu jua apabila gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang besar kemungkinan akan bekerjasama menghadapi pilihanraya negeri (PRN) enam negeri sedang melancarkan perang saraf gerak saraf (PSGS) bakal Menteri Besar (MB) Selangor adalah antara dua sama ada YAB Datuk Seri Amirudin Shari iaitu MB ketika ini atau Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia dalam Kerajaan Perpaduan, matlamatnya adalah mudah iaitu memberi persepsi betapa berwibawanya calon MB yang disediakan oleh gabungan PH dan BN.

Calon MB dalam PRN adalah kritikal sebagaimana pentingnya bakal Perdana Menteri dalam setiap pilihan raya umum (PRU) kerana ia mengambarkan kekuatan kerajaan negeri yang bakal ditubuh. Terutama sekali di Selangor yang merupakan negeri terkaya dari segi pendapatan dan sumbangan kepada hasil negara, apa yang tercetus di Selangor sudah pasti berkait dengan senario peringkat nasional.

Strategi lazim untuk menongkah arus PSGS PH dan BN ini adalah Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa akan mengambil alih Selangor turut mengemukakan calon MB mereka. Tetapi masalahnya ialah PN tidak mempunyai barisan calon MB yang berwibawa untuk menandingi kewibawaan gabungan Amirudin dan Zafrul.

Menjadi lebih sukar buat PN apabila Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga mantan MB Selangor mengumumkan akan berundur diri dari PRN demi memberi peluang kepada calon yang lebih muda. Memang tidak dinafikan pengumuman Azmin hanyalah sebahagian dari strategi beliau menilai reaksi kepimpinan tertinggi PN dan juga pengundi kerana setakat ini beliau adalah individu paling layak sebagai calon MB dari PN.

Memang Azmin ada stigma tewas di tangan Amirudin dalam PRU15 yang lepas di Parlimen Gombak tetapi hakikatnya adalah Azmin lebih berwibawa sebagai MB Selangor berbanding katakan Tan Sri Noh Omar atau Khairy Jamaluddin kerana bertiup kencang ura-ura bahawa mereka berdua akan menyertai samada PPBM atau PAS sebelum PRN akan datang.

Walaupun pengalaman politik Noh Omar dan Khairy Jamaluddin tidak kurang hebatnya berbanding Azmin, tetapi untuk menduduki kerusi panas MB Selangor perlu sedikit kelebihan iaitu individu yang menjawat jawatan MB perlu mempunyai aura sinonim apa jua yang berkait dengan Selangor. Memang benar Noh Omar begitu sinonim dengan daerah Tanjong Karang tetapi stigma negatif mantan ahli UMNO membuatkan Zafrul sebenarnya lebih menjadi tarikan. Begitu jua dengan Khairy, walaupun mampu raih undi dalam jumlah yang agak memberangsangkan di Parlimen Sungai Buluh ketika PRU15, beliau tidak cukup sinonim dengan Selangor malah lebih cocok jika menjadi calon MB Negeri Sembilan.

Sebab itu jua sejak kebelakangan ini berlaku PSGS dari PN yang cuba menanam persepsi jika Amirudin adalah calon MB dari PH, maka besar kemungkinan kerajaan Perpaduan akan berdepan dengan kekalahan di Selangor kerana menurut serangan tersebut beberapa kegagalan Amirudin sebagai MB melaksanakan beberapa projek seperti Selangor Maritime Gateway (SMG) dan Pembinaaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Sebenarnya agak mudah dipatah persepsi negatif tersebut kerana program SMG iaitu pembersihan dan mengindahkan semula sungai-sungai di Selangor adalah satu projek yang berterusan. Malah Amirudin sebagai MB Selangor mula membangunkan projek ini pada 2018 dianggap satu tindakan berani dan penuh risiko kerana kemelut sungai kotor di Selangor sudah lama berlarutan yang mana MB sebelum ini tidak mahu mengusik status quo kerana isu adalah begitu komplek.

Mengenai KSSA pula ianya baru saja bermula dan Amirudian memberi jaminan projek ini akan diteruskan demi memenuhi hasrat Baginda Sultan dan rakyat negeri Selangor. Tambah Amirudin perjalanan projek ini tidak terikat dengan PRN dan akan berjalan mengikut turutan yang lazim bagi projek sebesar ini.

Sebab itu jua dihujahkan PN perlu mencari ‘poster boy’ mereka secepat mungkin kerana kempen PRN sudah pun bermula walaupun Dewan Undang Negeri untuk kesemua enam negeri terbabit belum dibubarkan.
.
Penulis ialah Geostrategis dan Felo Kanan Alademi Nusantara NASR

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights