SIKAP ekstrem terhadap Islam akan membawa rebah kepada kelompok yang memusuhi Islam, kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, kalangan bukan Islam kini menuduh pendukung perjuangan Islam sebagai kelompok pelampau dan ia secara terbuka dapat disaksikan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
Beliau berkata, di peringkat antarabangsa disebarkan Islamofobia untuk membawa gambaran yang menakutkan terhadap Islam dan tindakan beberapa kerajaan terhadap penganut Islam yang beramal dengan ajaran Islam.
Abdul Hadi berkata, bagaimanapun golongan bukan Islam yang menjadi rakyat Malaysia dapat menyaksikan sifat wasatiyyah masih tersemat dalam diri bangsa Melayu yang kuat beragama Islam.
“Khususnya, di negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung yang majoriti besar penduduknya Melayu Islam dengan banyaknya pondok pengajian agama.
“Rakyat Melayu Islam di sini boleh menerima minoriti bukan Islam berada di tengah-tengah mereka dengan aman dan bebas, dibuktikan ketika berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, kawasan tersebut tidak terbakar dan tidak berlaku kacau-bilau,” katanya dalam Minda Presiden PAS, di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, kebenaran membuka sekolah jenis kebangsaan mengikut bahasa kaum dan ditetapkan menerima Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi (kebangsaan) tidak diberikan oleh negara lain selain Malaysia.
“Maka, Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang ditubuhkan selepas kemerdekaan hanyalah mengeruhkan keadaan yang baik dalam hubungan masyarakat majmuk, laksana diberikan betis mahukan paha.
“Mereka cuba membawa agenda sekularisme dan ‘Malaysian Malaysia’ yang merombak kewujudan bangsa dan ingin melarutkan bangsa Melayu Islam bersama masyarakat bukan Islam secara liberal.
“Ia dengan meminggirkan bahasa kebangsaan, membela kalangan yang murtad, melakukan langkah terhadap saudara baharu yang masuk Islam dan langkah ekstrem yang terbuka melalui kenyataan para pemimpinnya,” katanya.
Abdul Hadi berkata, semuanya itu akan merosakkan keadaan aman yang membahayakan kalangan bukan Islam sendiri dan sepatutnya peristiwa 13 Mei 1969 menjadi pengajaran dan iktibar supaya tidak berulang lagi.
“Begitu juga kalangan Melayu Islam di luar tabii yang bodoh terpengaruh dengan agenda DAP sehingga sanggup bersamanya.
“Malah, turut melemparkan tuduhan rasis terhadap suara kelompok yang membela Melayu yang tertekan dan terkebelakang oleh agenda sejak zaman penjajah, sehingga kini masih berterusan kesannya yang menghimpit Melayu Islam dalam aspek ekonomi dan pendidikan,” katanya.
Menurutnya, kini mereka pula cuba menghimpit melalui agenda politik dan ekonomi yang licik, tetapi terbuka dan melampau pula terhadap Melayu Islam dan parti Islam dengan tuduhan-tuduhan sehingga bersama membawa Islamofobia yang disebarkan dalam kalangan bukan Islam.
“Percayalah mereka pasti akan kecundang dan merosakkan kedudukan mereka sendiri yang aman dan bebas kini,” katanya.
Beliau bagaimanapun memuji bekas pemimpin Singapura, mendiang Lee Kuan Yew yang pernah mengadakan pertemuan dengannya sebanyak dua kali, malah Menteri Luar Singapura juga pernah berkunjung dan bertemu.
Menurutnya, PAS menerima sikap berdialog yang damai sebagaimana yang ditunjukkan oleh Singapura dan bukan bersikap melampau mahu berlawan dan menyanggah.
“DAP perlu menjaga sempadan dalam politiknya yang ekstrem terhadap Islam dan parti yang bercirikan Islam yang dilabelkan sebagai gelombang hijau yang berbahaya,” katanya.
Beliau berkata, sikap pihak yang melampau terhadap Islam dan penganutnya pasti menjadi sebab tumbang dirinya, seperti juga kuasa besar pada zaman dahulu yang rebah tersungkur berada dalam lipatan sejarah.
“Kami ingin menasihati kaum bukan Islam di Malaysia supaya jangan bersama parti yang melampau kerana akan merosakkan kedudukan mereka sendiri.
“Kami percaya segala perancangan bagi menghalang kebangkitan kuasa politik Islam pasti gagal,” katanya. – Malaysiapost