INSTITUT Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengesahkan berlaku kejadian bumbung runtuh membabitkan Dewan Besar di Blok B, institut berkenaan pagi tadi.
Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, berkata kejadian berlaku pada jam 11.55 pagi tadi dan menyebabkan lima kakitangan mengalami kecederaan ringan.
“Insiden itu berlaku ketika beberapa orang kakitangan sedang membuat latihan bagi penganjuran program Tribute Tan Sri Mohd Kamal Hassan yang dijadualkan pada 2 Jun 2023 di dewan yang sama.

“Kejadian runtuhan bumbung itu turut disedari oleh kakitangan yang berada di blok lain ekoran bunyi dentuman yang kuat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihak IKIM mengambil langkah segera dengan mengalihkan mangsa di tempat kejadian, selain menghubungi pihak bomba, Hospital Kuala Lumpur dan polis agar dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.
Menurutnya, sebagai rekod, Dewan Besar IKIM dibina pada tahun 1993 dan dalam tempoh itu, penyelenggaraan kecil seperti menukar bumbung yang bocor telah dilakukan.
“Berikutan insiden itu, IKIM akan memohon kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian bumbung runtuh itu.
“Namun demikian, IKIM meneruskan operasi seperti biasa,” katanya. – Malaysiapost