Cuaca panas berlarutan, rakyat disaran adakan solat hajat

NEGARA kini sedang berhadapan dengan keadaan cuaca panas dan kering yang memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat dalam urusan seharian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata sehubungan itu pihaknya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa supaya cuaca kembali berada dalam keadaan baik.

“Saya telah meminta masjid-masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk melaksanakan solat hajat pada esok.

“Masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga turut diminta untuk melaksanakan Solat Hajat pada tarikh sama untuk memohon kesejahteraan buat negara dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, JAWI dalam satu kenyataan susulan saranan mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan negara berikutan fenomena cuaca panas dan kering yang berlarutan turut akan melaksanakannya esok.

“Jabatan ini menyarankan agar masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat hajat tersebut selepas solat Isyak esok.

“Sesungguhnya fenomena alam yang berlaku saban waktu adalah sebahagian dari tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.

“Semoga rakyat Malaysia dihindarkan dari sebarang kemudaratan dan sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights