PRESIDEN Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan orang ramai menghindari fahaman mazhab ekstrem dari negara Islam lain.
Beliau berkata, penyebaran fahaman tersebut boleh menyesatkan masyarakat Islam sekali gus memudaratkan negara.
“Memang amat membahayakan, sekarang kita tahu ia diasaskan oleh pihak tertentu.
“Apa yang berlaku di Iraq dan Syria digunakan isu mazhab padahal mereka telah hidup damai beribu tahun sebelum ini.
“Jadi fahaman itu janganlah dibawa sehingga umat Islam (di Malaysia) terperangkap. Negara orang Islam ini perlu keluar daripada fahaman yang boleh menghancur dan melemahkan dunia Islam ini,” katanya kepada media di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Mohamad melancarkan buku biografinya ‘Juang’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.
Pada masa sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu mengesyorkan Malaysia mencontohi Arab Saudi yang memulakan langkah perdamaian dengan Iran.
“Kita harap keinsafan berlaku, sekarang ini Saudi telah menghulurkan tangan kepada Iran semula dan berlaku perundingan serta perbincangan.
“Kita harap perubahan yang berlaku pada geopolitik ini akan membawa satu era yang baharu kepada dunia Islam,” katanya. – Malaysiapost