KEMATIAN Kee Kok Thiam, pada Isnin lalu selepas beberapa hari dibawa pulang ke tanah air dari Macau dan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Kok Thiam yang juga bekas pembantu Low Taek Jho atau Jho Low tiba di pulang menerusi kerjasama SPRM bersama agensi penguatkuasa luar dan ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Mei lalu.
Dia dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam pelarian itu yang dikehendaki membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kematian Kok Thiam, 56, yang juga rakan rapat Jho Low, adalah disebabkan faktor kesihatan.
“Kes ini polis siasat sebagai SDR (mati mengejut) dan tiada unsur jenayah,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Terdahulu, Firma Guaman Valen, Oh & Partners dalam kenyataan hari ini, memaklumkan, anak guam mereka meninggal dunia pada Isnin lalu di sebuah hospital akibat strok.
Sebelum ini, media melaporkan, lelaki berusia 56 tahun itu dikatakan mengesahkan pertemuan dengan Jho Low, dalang utama di sebalik kontroversi 1MDB.
Menurut laporan Al Jazeera, SPRM percaya Jho Low, ‘bersembunyi’ di Macau. – Malaysiapost