PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengadakan ujian rintis awam ‘SmartLane’ di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), awal pagi esok.
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz. berkata ujian itu bertujuan membantu melancarkan pergerakan trafik di laluan USJ-Seafield terutamanya pada waktu puncak.
“Ujian rintis awam ini dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Ia bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong bagi mengurangkan kesesakan trafik di laluan kritikal lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ujian rintis awam laluan ‘SmartLane’ itu akan dilaksanakan di laluan USJ ke Seafield di antara Kilometer (KM) 8.1 hingga KM6.1 (Arah Utara) di Lebuhraya ELITE mulai jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi pada setiap hari Isnin hingga Ahad (kecuali hari kelepasan am) bermula 1 Jun sehingga 31 Ogos 2023.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, lorong paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk menambah kapasiti lorong sedia ada dan membantu melancarkan trafik pada waktu puncak pagi.
“Ketika laluan ‘SmartLane’ ini diaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah untuk menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka.
“Walau bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali menggunakan bahu jalan/laluan kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan ‘SmartLane’ diaktifkan,” katanya.
Menurutnya, PLUS juga telah melakukan pelbagai persediaan untuk melaksanakan inisiatif itu dengan pemantauan oleh anggota PDRM, JPJ dan pasukan PLUSRonda.
Katanya, papan tanda trafik turut dipasang dan menyediakan trak tunda tambahan di lokasi sekiranya berlaku kecemasan.
“Secara puratanya, kira-kira 75,000 kenderaan menggunakan laluan USJ-Seafield di Lebuhraya ELITE pada setiap hari. Daripada jumlah itu, 58 peratus menggunakan laluan terbabit secara serentak pada waktu puncak di sebelah pagi,” katanya.
Jelas beliau, laluan ‘SmartLane’ dijangka dapat memendekkan tempoh perjalanan di laluan terbabit pada waktu puncak sekiranya tiada sebarang insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan di laluan tersebut. – Malaysiapost