Rafizi ‘belit’ diri sendiri – Shahrir Samad

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Samad menegur Menteri Ekonomi Rafizi Ramli supaya bercakap lurus atau ‘straight talk’, agar rakyat faham keadaan sebenar dan berupaya membuat keputusan yang wajar berasas fakta.

Menurutnya, lebih banyak yang cuba dihuraikan oleh Ahli Parlimen Pandan itu, semakin beliau ‘berbelit’ diri sendiri dengan hujah-hujahnya.

“Tidak menjadi satu kelemahan kalau mengaku ada kelemahan dalam ekonomi dan kewangan negara.

“Lagipun YB (Yang Berhormat) hanya Menteri Ekonomi dan orang lain pegang portfolio Kewangan.

“Ekonomi pun hanya ‘big picture’ dan sebagai Menteri Ekonomi, YB tidak pula berpengaruh terhadap banyak perkara dibawah kementerian-kementerian lain yang menjaga berbagai hal yang mempengaruhi ekonomi negara,” katanya di Facebook.

Shahrir berkata, keadaan itu berbeza jika Rafizi benar-benar memiliki pengetahuan luar biasa dan hujah-hujah ‘power’ yang dapat menguasai pemikiran rakan-rakan lain dalam Jemaah Menteri.  

Beliau mengulas kenyataan Menteri Ekonomi itu yang berpendapat situasi kejatuhan nilai ringgit yang dihadapi negara ketika ini tidak boleh disamakan ketika zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

Rafizi berkata, pada waktu itu negara terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa kepada negara.

Menurut Rafizi lagi, menguruskan ekonomi negara perlu dilihat dalam perspektif menyeluruh kerana ia bukannya semata-mata ditentukan oleh nilai mata wang. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights