RM3 juta diluluskan selesai isu air di UMS

PERUNTUKAN sebanyak RM3 juta diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini bagi menangani isu air yang dialami Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Berita baik itu diumumkan ketika menjawab soalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Jeeva Cassandra Abdul Mumin pada sesi soal jawab Temu Anwar di Dewan Canselor UMS, petang tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah itu bagi membiayai usaha UMS menangani masalah air di kampus induknya, termasuk menggunakan sumber air bawah tanah, tuaian air hujan dan air bukit.

Menurutnya, meskipun negara berdepan dengan hutang sebanyak RM1.5 trillion peninggalan kerajaan terdahulu, namun beliau tidak mahu mahasiswa UMS menghadapi kesukaran menjalani kehidupan ketika menimba ilmu.

“Saya lulus RM3 juta di UMS sebab saya tidak mahu anak-anak UMS dalam keadaan sukar, nak mandi susah, belajar susah.

“Dalam beberapa hari ini kita pastikan wang ini disalur. Jangan ganggu mahasiswa, jangan ganggu staf dengan masalah yang membebankan ini,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan itu tidak mudah untuk diberikan, namun ia diberikan atas kesedaran beliau memahami kesukaran mahasiswa yang dianggapnya seperti anak sendiri.

Dalam pada itu beliau berkata Kerajaan Persekutuan komited untuk mengatasi masalah sekolah daif serta keperluan pendidikan di negara ini, dan sedang menjalankan usaha ke arah penyelesaian masalah itu.

“Saya tanya Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) beri saya jumlah keperluan (baiki) sekolah daif, tandas rosak, klinik rosak itu, perlukan RM1.4 billion.

“Pengalaman saya lihat sekolah lapan tandas ada empat rosak, empat tandas tiga rosak jadi adakah kita mahu latih anak kita beratur (masuk tandas) seperti filem Bujang Lapok,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights