Sabah lebih membangun jika diuruskan dengan lebih baik – Anwar

NEGERI Sabah boleh membangun jika pentadbiran diuruskan dengan baik tanpa berlakunya pembaziran atau salah guna kuasa di negeri ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perlu ada anjakan paradigma terutama soal pentadbiran bagi mengangkat Sabah itu sendiri sebagai sebuah negeri yang maju dan cemerlang di masa akan datang.

“Melihat kemahuan dan kesungguhan pimpinan, Datuk Seri Hajiji Noor ada di sini (Ketua Menteri Sabah); Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, saya lihat pendekatan itu agak berbeda.

“Melihat suatu keperluan untuk menganjak daripada paradigma lalu supaya beberapa isu terutama soal tatakelola jika baik, kita tidak membazir, tidak salah guna, tidak menggunakan kekayaan untuk memperkayakan kroninya.

“Saya percaya Sabah boleh diselamatkan, rakyat boleh diangkat martabat mereka dan ini bagi saya selari dengan negara Madani yang saya sudah terapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Temu Anwar di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.

Kira-kira 5,000 pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) dari sekitar Kota Kinabalu, Majlis Belia Sabah (MBS) dan orang awam menghadiri program anjuran bersama UMS dan Anwar Ibrahim Club (AIC) itu yang bermula 5 petang tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansur.

Anwar turut menegaskan kerajaan baharu yang dipimpinnya tiada penipuan atau cubaan untuk merompak wang kerajaan, sebaliknya hanya untuk memajukan negara.

“Cara pemerintahan baharu kerajaan, tidak bercakap kosong, tiada penipuan, tiada ‘sakau menyakau’. (Sebaliknya) berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai isu jalan raya di negeri ini, Anwar turut memberi penekanan bahawa kerajaan persekutuan sentiasa mengutamakan perkara itu supaya ia diselesaikan dengan segera.

“Saya bincang panjang dengan Hajiji, masalah air termasuk di UMS ini, masalah bekalan elektrik, masalah jalan berlubang-lubang macam naik bot, kadang-kadang saya belum pasti ini naik kereta atau naik bot.

“Untuk jalan berlubang, perbelanjaannya cukup tinggi, kita tambah kerana Pan Borneo kita sering dengar dalam belanjawan tetapi Pan pun tidak ada, Borneo pun tak nampak.

“Jadi saya tugaskan Timbalan Perdana Menteri berasal dari Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof bekerjasama dengan kerajaan negeri dan ambil sikap serta tindakan segera, saya mahu perkara ini diselesaikan mulai tahun ini dan akhiri projek ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights