Hadi akui tawaran sertai Kerajaan Perpaduan dibuat selepas PRU15

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan tawaran yang dibuat kepada PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah, Ahli Parlimen Marang itu turut mengesahkan, tiada tawaran terkini yang dibuat kepada PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan. 

“Selepas pilihan raya (tawaran sertai Kerajaan Perpaduan). Yang terbaharu tak adalah,” katanya dalam sidang media sempena Terengganu International Summait 2023, hari ini.

Justeru, Abdul Hadi menegaskan PAS  akan kekal bersama Perikatan Nasional (PN) sekali gus menolak tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan.

Abdul Hadi berkata, pihaknya menolak tawaran itu kerana menyifatkan pihak yang menawarkannya ‘sangat lemah’ selain ‘tiada harapan’.

Beliau berkata, PAS tidak akan bekerjasama dengan gabungan yang didominasi oleh bukan Islam, selain menyifatkan ia sebagai satu pakatan yang tidak sesuai dengan masyarakat Melayu Islam di negara ini. 

“Parti yang terbesar yang bertanding pilihan raya adalah PN dengan PAS (menang) 49 kerusi manakala Bersatu (25 kerusi).

“PKR (hanya) 30 sahaja, dalam keadaan itu 19 kerusi PKR Melayu, DAP tiga orang Melayu, (maknanya) kerajaan didominasi oleh bukan Melayu.

“Ia satu pakatan yang tidak sesuai dengan masyarakat Melayu Islam di Malaysia yang majoriti orang Islam. Macam mana nak memimpin negara dengan parti yang didominasi oleh bukan Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PAS boleh ‘membaca’ percaturan politik yang bakal berlaku dengan kerajasama berkenaan yang tidak menguntungkan orang Melayu dan Islam.

“Kita boleh ‘baca’ politik kerana kita berpolitik lama dah. Walaupun tak jadi  Menteri, (DAP) duduk belakang menteri. (Walaupun) DAP tak jadi Exco dia duduk belakang Exco.

“Kita akan (terus) bersama PN dan kita mengajak pihak lain bersama kita kerana kita (PAS) mendominasi rakyat. Maknanya kekuatan ada pada kita,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai kerjasama PAS dengan DAP yang pernah terjalin sebelum ini, Abdul Hadi berkata, kerjasama itu adalah dalam isu kemanusiaan menentang kezaliman tidak membabitkan dasar kedua-dua parti. 

“Kita bekerjasama dalam isu kemanusiaan menentang salah guna ISA, di mana PAS menyokong ISA masa darurat dulu, tiba tiba ISA digunakan untuk tangkap orang PAS.   

“Jadi itu salah guna ISA termasuklah yang lawan demokrasi, politik wang, pengundi hantu, kerjasama itu saja. Tak boleh sentuh dasar parti” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi mendedahkan beberapa pemimpin PH berjumpa dengannya dan menawarkan PAS menyertai Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan beliau turut dihubungi beberapa pihak yang menawarkan perkara yang sama.

Susulan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan berhubung tawaran yang dibuat beberapa pemimpin PH kepada PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, perkara itu tidak pernah dimaklumkan dan sampai ke dalam pengetahuan beliau. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights