KERAJAAN akan mengkaji semula dasar sedia ada yang mewajibkan pemaju hartanah memperuntukkan sebahagian daripada projek pembangunan mereka untuk pembinaan rumah mampu milik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana kerajaan melihat dasar itu seolah-olah tidak ‘berjalan’ mengikut jadual dan skala yang diperlukan daripada pihak pemaju.
Justeru katanya, kerajaan akan memperkenalkan beberapa syarat baharu yang lebih ketat kepada pemaju bagi memastikan peruntukan pembinaan projek perumahan mampu milik benar-benar dilaksanakan.

“Saya telah meminta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk melihat semula dasar itu dan mengenakan syarat baharu.
“Kenapa mesti kerajaan hanya menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat sedangkan kita ada pemaju yang membina projek besar?.
“Ini kerana ia merupakan sebahagian tanggungjawab mereka untuk membina (perumahan mampu milik),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kunci kepada pemilik rumah Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Dalur di Presint 18, hari ini.
Sementara itu, menerusi hantaran Facebook Perdana Menteri berkata, pembangunan skim perumahan PPAM Madani bertujuan mengatasi masalah pemilikan rumah oleh kumpulan B40 dan M40 khusus penjawat awam.
“Secara keseluruhan, Kerajaan menyasarkan pembinaan 200,000 unit kediaman untuk penjawat awam di seluruh negara dengan harga rumah mampu milik di bawah RM300,000.
“Alhamdulillah di Putrajaya, setakat ini sejumlah 9,480 unit PPAM Madani sudah siap untuk didiami dengan sumbangan nilai subsidi RM25,000 sehingga RM38,000 seunit bergantung kepada saiz rumah,” katanya.
Terdahulu, pelancaran projek PPAM Madani Dalur dibangunkan Perbadanan Putrajaya menerusi pemaju TRC Land Sdn Bhd yang mempunyai sejumlah 500 unit kediaman dengan keluasan lantai 1,000 dan 1,200 kaki persegi.
Menerusi kenyataan Perbadanan Putrajaya, harga jualan yang ditawarkan adalah tidak melebihi RM260,000 seunit iaitu lebih rendah daripada harga pasaran tidak termasuk kos nilai tanah di Putrajaya.
Di samping itu, penetapan syarat minimum 60 peratus daripada jumlah unit pembangunan ini diperuntukkan kepada kuota Bumiputera bagi mengatasi masalah pemilikan rumah dalam kalangan B40. – Malaysiapost