‘Sekali Saja’ buah tangan terbaru kumpulan ZAKH

KESIBUKAN menguruskan perniagaan restoran di Melaka tidak menjadi halangan kepada artis kumpulan duo lelaki, ZAKH melancarkan single ketiga, ‘Sekali Saja’ buat peminat lagu-lagu pop balada.

Kumpulan dianggotai Zul Ariff, 36, dan Kamal Hamidi, 31, sebelum ini mengeluarkan naskhah single sulung dan kedua mereka bertajuk ‘Cinta Semalam’ dan ‘Jauh’ tahun lalu sehingga ia mendapat lebih 500,000 tontonan di Youtube.

Menurut Zul, sama seperti sebelum ini, single ketiga itu turut adalah hasil idea dan lirik sentuhan Iswandy Atan, Ilusinasi dan Zul Ariff yang mengambil masa hampir setahun untuk dihidangkan kepada industri seni negara.

“Kami cuba menampilkan muzik yang lebih segar dengan mengekalkan elemen pop balada sehingga terlahirnya ‘Sekali Saja’ yang mengisahkan tentang redha seorang lelaki yang kehilangan cinta sejati.

“Namun maksud cinta sejati ini lebih luas termasuklah kepada kekeluargaan dan juga berunsurkan kerohanian, di mana hilangnya rahmat dari Allah dan berada diambang penyesalan,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di Melaka.

Menurutnya, naskhah itu merupakan sentuhan kreatif komposer yang berpengalaman, Iswandy Atan dan Ujang Exist (drummer), Faridzz Tagi (string arrangement), selain  Along Exist (mixing).

“Kami berharap lagu single ketiga ‘Sekali Saja’ ini dapat menghiburkan semua pendengar dan memberi mesej mendalam yang boleh didengari bermula 26 May lalu di semua pelantar digital striming termasuk saluran Youtube ZAKH Music,” katanya.

Sebelum bergandingan sebagai kumpulan duo, Zul Ariff dan Kamal Hamidi atau nama penuhnya Kamal Hamidi Ali, 31, masing-masing adalah artis solo.

Kedua-dua pengusaha restoran masakan Kedah, Restoran Serambi Emak di Kota Fesyen MITC Ayer Keroh mempunyai dua buah single iaitu ‘Saat Aku’ dan ‘Iya’ yang merupakan kerjasama sulung Zul Ariff bersama Mimi Fly pada tahun lalu manakala Kamal Hamidi lagu berjudul ‘Selagi Nafas’ dan ‘Terbuai Perasaan’. – Malaysiapost.

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights