Tiada ‘Langkah Sheraton 2.0’ – Wan Ahmad Fayhsal

KETUA Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan khabar angin mendakwa beliau sedang menggerakkan ‘Langkah Sheraton 2.0’.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang sebaliknya berkata, Perikatan Nasional (PN) komited menjadi pembangkang untuk menyemak imbang kerajaan yang ada pada hari ini.

“Macam mana kita nak ada perancangan nak buat ‘langkah Sheraton 2.0’, minggu lepas (sidang Dewan Rakyat) bila ada undian kita kalah di Parlimen.

“Jadi pembangkang tak ada kekuatan seperti yang ditakut-takutkan oleh PMX (Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam siaran podcast ‘Keluar Sekejap’ kendalian bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Khairy mengenai khabar angin mendakwa terdapat komplot menggulingkan kerajaan melalui Langkah Sheraton 2.0 hingga Perdana Menteri terpaksa turun kelapangan untuk memastikan ada kestabilan politik.

Sementara itu diminta memberi pandangan terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan selepas enam bulan mentadbir negara, Wan Ahmad Fayhsal berpendapat prestasi kerajaan ketika ini adalah teruk.

“Perdana Menteri tidak mentadbir negara sebaliknya ‘sibuk’ berkempen. Kalau kita lihat sangat sukar untuk nampak beliau menjelaskan perkara dasar berkenaan hala tuju negara secara jelas.

“Ceramah-ceramah umum beliau lebih kepada retorik. Sebab itu ekonomi negara terumbang ambing ketika ini. Saya nampak inilah masalah yang ada pada kerajaan hari ini,” katanya.

Menurutnya, sebab itu PN sentiasa membangkitkan isu-isu pokok termasuk tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kami mendengar keluhan daripada rakyat dan kami bangkitkan, jika tidak diberi (pengeluaran KWSP) apa alternatif untuk meringankan beban (rakyat), tetapi itu tidak jelas daripada Menteri Kewangan sendiri.

“Saya bersetuju dengan pandangan KJ (Khairy) kalau tidak mampu (jadi Menteri Kewangan) berilah MOF 2 (Menteri Kewangan kedua) kepada orang yang mampu. Saya tidak rasa beliau (Anwar) ada kekuatan dalam isu-isu kewangan hari ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights