SENI persembahan tradisional Kelantan, Main Puteri atau Main Teri akan mengadakan pementasan di Festival de I’Imaginaire, Paris, pada 7 Jun ini.
Persembahan yang akan diadakan di Theatre de I’Alliance Francaise, Paris itu dibawakan pertubuhan pelestarian seni budaya warisan Malaysia iaitu Pusaka, atas undangan pertubuhan Maison des Cultures du Monde.
Pengasas Pusaka, Eddin Khoo berkata, persembahan itu menjadi platform terbaik untuk menyerlahkan lagi bakat seniman dalam bidang kebudayaan dan kesenian di persada antarabangsa.
“Ini kali kedua Pusaka dijemput untuk membuat persembahan di sana selepas kejayaan persembahan seni tradisional Makyong, Menora dan Wayang Kulit pada 2007.
“Kami berbangga dan berbesar hati diberi peluang untuk mementaskan Main Puteri dalam satu festival yang terkemuka sebagai usaha mengangkat martabat dan memperkasakan seni tradisional di luar negara,” katanya.
Menurut Eddin, persembahan itu akan menampilkan adiguru seni Main Puteri iaitu Che Mohd Zailani Che Moh, Mohd Noor Arifin, Ahmad Shaifuldin Jusoh serta barisan pemuzik bakat muda Kelantan seperti Kimi Anak Limbat (pemain rebab), Syakil Yusof (pemain serunai) dan Alang Rebanamas (pemain gendang).
“Setiap adiguru ini mempunyai gaya persembahan yang berbeza melalui pendekatan masing-masing, yang pastinya akan menarik minat penonton,” katanya.
Beliau berkata, program itu turut mendapat sokongan Kedutaan Besar Malaysia di Paris, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan MyCreative Ventures.
Dalam pada itu, Eddin berkata Pusaka dan Asia Society France berkolaborasi dengan Kedutaan Besar Malaysia bagi menganjurkan program Temu Budaya: A Cultural Soiree di Rumah Malaysia, Paris pada 8 Jun. – Malaysiapost