PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘menyambut tangan’ Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali bekerjasama demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu, berkata beliau menyambut baik kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang bersedia bekerjasama dengannya semula demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam di negara ini.
“Saya sedar perkembangan politik mutakhir ini meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di suatu persimpangan yang getir.
“Maka sebagai seorang Muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Tun Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir mengakui beliau kini bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.
Kenyataan terbaharu Dr Mahathir itu, sekali gus membayangkan kedua-dua bekas Perdana Menteri berkenaan berkemungkinan boleh kembali duduk semeja selepas bermusuhan selama lebih tiga tahun.
Untuk rekod, Bersatu pimpinan Muhyiddin ditubuhkan pada 2016 selepas beliau dan beberapa pemimpin Umno dipecat daripada parti itu selepas secara terbuka mengkritik isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Penubuhan Bersatu dilakukan bersama Dr Mahathir yang dilantik sebagai Pengerusi sebelum parti itu menyertai gabungan politik Pakatan Harapan (PH) yang akhirnya berjaya menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Bagaimanapun, Dr Mahathir dipecat daripada Bersatu selepas berlaku perubahan kerajaan menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan kerajaan PH tumbang dan digantikan dengan kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin. – Malaysiapost