PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2023 bakal mencatat sejarah apabila dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai tetamu kehormat.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Perdana Menteri dijadual hadir pada acara pembukaan PAU 2023 pada Khamis depan dan disertai semua presiden bagi 19 parti di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Tahun ini, sedikit kelainan dan bertuah kerana PAU akan turut dihadiri Perdana Menteri bersama 19 presiden parti yang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Ini adalah saat bersejarah buat PAU yang akan disertai dengan pelbagai parti yang membentuk kerajaan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sebelum ini, Anwar pernah hadir dan berucap di Dewan Merdeka sewaktu Konvensyen Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Mei lalu.
PAU 2023 akan berlangsung bermula pada 7 hingga 10 Jun ini di WTCKL.
Ia akan dimulakan dengan sebuah program bersama jentera penerangan parti seluruh Malaysia yang dihadiri oleh tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Asyraf Wajdi memaklumkan, jumlah perwakilan yang hadir ke PAU 2023 juga bertambah disebabkan pindaan yang dibuat semasa PAU Khas pada Januari lalu. – Malaysiapost