‘Pemimpin politik terpalit kes jenayah jangan panik, kelam kabut’ – Azalina

PEMIMPIN parti politik yang terpalit kes jenayah dinasihatkan agar tidak panik dan kelam kabut, kata Datuk Seri Azalina Othman Said. 

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institut) itu berkata, mereka perlu membiarkan pihak agensi yang bertanggungjawab menjalankan siasatan.

Tegasnya, semua siasatan dilakukan tidak akan terhenti setakat satu agensi penguat kuasa sahaja.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi penguat kuasa lain boleh melihat dan menilai kes-kes berkenaan. Jangan kita melihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja yang bertanggungjawab dalam menyiasat.

“Siapa yang terlibat kes jenayah, jangan panik atau kelam kabut, biarkan agensi yang bertanggungjawab menjalankan siasatan.  Saya cuma dimaklumkan mereka ada memberikan maklumat baharu, tetapi saya tidak terlibat menjaga SPRM,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini. 

Minggu lalu, Azalina dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat memaklumkan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan mengatakan Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Jelasnya, siasatan SPRM mendapati dakwaan itu terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu, sekali gus tiada fail siasatan dibuka.

Bagaimanapun, Azalina dalam kenyataan selepas itu menjelaskan, dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat, beliau hanya menyatakan SPRM tidak membuka fail memandangkan maklumat yang diperoleh setakat ini adalah bersifat umum.

Justeru, beliau berkata, siasatan dakwaan dana judi melibatkan PN semasa kempen PRU15 tidak dihenti atau digugurkan.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mempertahan kenyataannya mengenai dakwaan PN memperoleh dana judi untuk berkempen semasa PRU15.

Anwar berkata, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sekiranya tidak mempunyai asas berhubung dakwaan sebelum ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights