Umat Islam jangan taksub tiru budaya barat – Tun M

TUN Dr Mahathir Mohamad menasihatkan umat Islam supaya berpegang kepada cara hidup Islam dan tidak terlalu taksub dengan budaya barat sehingga sanggup memperhambakan diri.

Bekas Perdana Menteri itu juga mengingatkan masyarakat supaya tidak meniru barat yang mana budaya haram kini sudah dihalalkan mereka.

Menurutnya, barat berpendapat semua amalan haram yang sudah dihalal oleh mereka hendaklah diamal oleh semua negara dan bangsa di dunia.

“Secara terbuka mereka mempromosi budaya songsang melalui filem dan konsert.

“Mereka mengambil warna pelangi sebagai bendera mereka dengan berbagai acara dan produk, warna pelangi diguna untuk bukti penerimaan LGBT oleh mereka

“Dahulu kita semua sering meniru budaya dan akhlak barat. Hari ini budaya barat sudah runtuh, yang haram sudah dihalalkan oleh mereka,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Dr Mahathir juga mengingatkan dunia supaya tidak perlu tiru barat, selain dari budaya lama mereka yang tidak menidakkan nilai hidup dan budaya kita.

“Kita tidak harus keterlaluan tetapi pilihlah yang jernih dan buanglah yang kotor.

“Janganlah terlalu taksub dengan barat sehingga kita perhambakan diri kita.

“Bagi orang Islam pegang kuatlah kepada cara hidup Islam atau Ad-din,” katanya.

Jelas Dr Mahathir, setiap bangsa yang bertamadun mempunyai susunan tatatertib yang mencerminkan nilai hidup dipegang dan diamalkan mereka.

“Buat beberapa kurun dunia anggap akhlak dan budaya orang Eropah sebagai yang terbaik. Oleh itu, ramai masyarakat dunia meniru pakaian dan adat resam orang barat.

“Nilai hidup atau budaya orang Eropah ditiru dan diamal dalam kehidupan manusia sehingga anggap budaya mereka adalah budaya dunia dan anggap orang Asia tidak ada budaya tersendiri.

“Tetapi sekarang kita sedang lihat budaya barat runtuh dan merosot. Pakaian orang barat sekarang tidak senonoh. Seluar pendek dan carik dipakai oleh muda mudi sehingga terdedah aurat tanpa segan silu,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, institusi perkahwinan dan berkeluarga tidak lagi diamal dengan anak muda bebas mengadakan hubungan seks dan anak yang dilahir tidak lagi menjadi anak haram.

“Malah, tuntutan kesamaan antara wanita dan lelaki sudah sampai ke tahap cara hidup lelaki dan perempuan tidak lagi berbeza, walaupun dalam perlakuan maksiat.

“Akhirnya, perkahwinan dibolehkan antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan. Sebelum pun amalan ini dilaku masyarakat menerima liwat sebagai perkara biasa, tidak haram lagi dan dihalalkan oleh agama mereka,” katanya.

Beliau berkata, semua amalan ganjil dan haram itu direstu oleh kerajaan mereka dengan undang-undang lama dimansuhkan dan diganti dengan undang-undang baharu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights