PEMILIK Kelantan Norizam Tukiman ataupun lebih dikenali sebagai Zamsaham berjanji untuk melepaskan 50 peratus bayaran gaji pemain yang ditahan walaupun pasukan itu tewas dalam perlawanan akan datang.
Dalam satu kenyataan di Facebooknya, Norizam berkata beliau telah memaklumkan perkara itu dalam pertemuan dengan pemain The Red Warrior (TRW) dua hari lalu.

“Saya melawat latihan (pasukan) dua hari lepas. Saya maklumkan pemain, saya janji kalau menang ke seri atau kalah saya akan bayar gaji 50 peratus yang ditahan. Kalau boleh bagilah kemenangan.
“Tiga tahun saya pegang. Lewat ada, tapi tak adalah sampai tiga bulan, lima bulan, biasanya semua dapat bulan yang sama.
“Saya minta maaf kalau saya marah. Tetapi kenapa saya marah pemain tertentu? Tentulah ada sebabnya, kalau tak ada hal, tentu saya diam saja,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Tiga hari lalu, Norizam tampil memberi penjelasan berhubung tindakannya tidak membayar gaji pemain yang tertunggak beberapa bulan.
Katanya, tindakan beliau menahan gaji pemain adalah kerana mahu pasukan berusaha memburu kemenangan dalam setiap aksi.
Malah, beliau menafikan yang dirinya sengaja lari daripada membayar gaji pemain pasukan itu termasuk menolak dakwaan yang pihaknya berhutang tunggakan gaji selama dua bulan.
“Sebelum ini semua pemain dapat gaji penuh. Benar, memang ada lambat dan ada bulan bayaran secara berperingkat dalam bulan sama, tapi tiap-tiap bulan semua pemain tetap dapat jumlah gaji penuh. Tak benar dua bulan gaji tertunggak,” katanya seperti dilaporkan media.
Dalam pada itu, Norizam sedia bertemu penyokong Kelantan esok bagi merungkai kemelut yang dihadapi pasukan itu ketika ini.
“Jumpa saya esok di Zamburger Kelantan. Saya akan jelaskan. Jangan dengar sebelah pihak, biar dengar kedua belah. Anda ‘decide’ anda fikirkan,” katanya lagi. – Malaysiapost