KERTAS siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan menghina institusi raja sudah dilengkapkan.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), Selasa ini.
Menurutnya, ia selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
“PDRM telah melengkapkan kertas siasatan terhadap Dr Mahathir bersabit kes penghinaan terhadap institusi diraja.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada AGC pada 6 Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Noorsiah memaklumkan isu membabitkan Proklamasi Orang Melayu masih lagi di peringkat siasatan.
Beliau berkata, polis akan merakam percakapan dua ahli politik lagi iaitu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy.
Media semalam melaporkan peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr Mahathir berkata, bekas Perdana Menteri itu disoal mengenai video yang dikatakan menunjukkan pemimpin berusia 97 tahun itu bercakap di sebuah majlis.
Dalam video itu, Dr Mahathir didakwa membuat kenyataan bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi mereka.
Pagi semalam, Dr Mahathir dirakam percakapan oleh PDRM susulan kenyataan beliau mengenai institusi diraja serta Proklamasi Orang Melayu.
Rakaman percakapan dilakukan di Yayasan Albukhary pada jam 10.30 pagi. – Malaysiapost