Selangor peruntuk RM6 juta sumbangan ibadah korban tahun ini

KERAJAAN Selangor memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 300 masjid dan surau terpilih akan menerima sumbangan ibadah korban berkenaan.

“Kita serahkan 700 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing kepada masjid, surau, agensi dan institusi yang akan laksana ibadah korban sempena Aidiladha akhir bulan ini.

“Secara keseluruhannya kita peruntukkan RM6 juta berbanding lebih RM5 juta tahun lalu disebabkan pertambahan jumlah haiwan yang disumbangkan selain peningkatan harga lembu dan kambing,” katanya.

Amirudin menjelaskan pemilihan masjid dan surau oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berdasarkan lokaliti yang mempunyai ramai asnaf atau golongan berpendapatan rendah (B40).

“Jadi kita akan tumpukan di kawasan ini dahulu sebelum kawasan yang mampan daripada sudut kewangannya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights