Vida sedia taja Kelantan FC, cadang lantik Kacak sebagai pengurus

USAHAWAN kosmetik sensasi, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida dilaporkan menyatakan kesedian untuk kembali menaja dan menyelamatkan Kelantan FC.

Vida yang pernah menjadi penaja pasukan pantai timur itu pada 2016 juga mengakui kasihan melihat keadaan Kelantan FC yang berdepan pelbagai masalah.

Malah, beliau juga sudah mempunyai perancangan untuk meletakkan anak lelakinya, Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin atau dikenali sebagai Kacak untuk menjadi pengurus pasukan.

“Kalau kena caranya, saya akan ambil semula Kelantan. Seperti keadaan sekarang, kasihan saya tengok. Kalau tunggakan banyak, kami tak nak tapi kalau nak meneruskan atau nak cari pengganti yang boleh majukan memang boleh.

“Saya akan tengok keadaan apabila nak berjumpa dia (pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham). Risau jumpa sekarang, Zamsaham dapat publisiti yang dia nak. Tak boleh janji lagi.

“Saya kena berunding dengan mereka sebab bukan saya akan uruskan tapi Kacak. Saya akan beri kepada orang yang tahu pasal bola seperti Kacak. Jangan ada campur tangan pihak lain,” katanya seperti dilapor portal Majoriti.

Kemelut dalaman membabitkan Kelantan FC bermula daripada pendedahan bekas jurulatih mereka, Choi Moon Sik dan ejennya, Myeongho Jeong mengenai masalah kelab tersebut.

Ia berlarutan apabila terdapat beberapa pemain Kelantan FC yang mendedahkan masalah gaji yang belum dibayar sepenuhnya oleh pihak pengurusan.

Baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan tidak ada sebarang peruntukan atau syarat dalam kontrak bola sepak yang membolehkan pemilik kelab menyekat gaji pemain walaupun pasukan berdepan kemerosotan prestasi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang FAM, Syed Yazid Syed Omar berkata demikian susulan tindakan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang menahan 50 peratus gaji pemain ekoran prestasi buruk The Reds Warriors (TRW) dalam Liga Malaysia ketika ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights