SEBUAH van membawa jenazah wanita terbalik dalam kemalangan di Kilometer 128.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), awal pagi tadi.
Kenderaan itu dipercayai terlanggar konkrit pembahagi laluan motosikal di atas Jambatan Sultan Ahmad Shah II, lalu terbabas dan terbalik, kira-kira jam 3.10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, pemandu van bersama tiga penumpang berusia 24 hingga 54 tahun yang mengiringi jenazah dilaporkan cedera.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan,” katanya.
Menurutnya, urusan menghantar jenazah kemudian diuruskan polis dengan menggunakan van jenazah lain.
Mohd Azhar berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Beliau berkata, van jenazah itu dibawa ke IPD Temerloh untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan itu.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian 09 2716086 bagi membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost