DUA beradik lemas ketika mandi di Pantai Bagan Lalang, Sepang, manakala seorang lelaki yang dikatakan cuba menyelamatkan mereka masih hilang.
Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa yang dilaporkan lemas membabitkan kanak-kanak berusia sembilan dan tujuh tahun.
Difahamkan, lelaki berusia 30-an yang masih hilang itu adalah orang awam yang cuba membantu menyelamatkan dua kanak-kanak terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad mengesahkan kejadian itu dan usaha kini giat dijalankan bagi mencari seorang lagi mangsa yang hilang.
Katanya, usaha menyelamat dijalankan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sepang.
Sementara itu, menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 2.34 petang tadi.
Menurutnya, enam anggota dari Balai Bomba Sepang tiba di tempat kejadian, kira-kira 23 minit kemudian.
Katanya, mangsa ditemukan 50 meter dari lokasi kejadian dan kematian mereka disahkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mangsa lelaki pula masih belum dijumpai. Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan bomba,” katanya. – Malaysiapost