Kenapa kejam sangat!

NEGARA sekali lagi dihidangkan dengan kes kekejaman terhadap haiwan apabila seekor kucing ditemui mati dijerut leher dan digantung dengan dawai di bingkai tingkap sebuah kediaman di Persiaran Intan Hulu Langat Selangor.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika, berkata kejadian disedari berlaku pada jam 10 pagi hari Jumaat lalu oleh penduduk setempat.

Menurutnya, saksi mendakwa mengesyaki perlakuan keji dan tidak berperikanusiaan itu dilakukan oleh seorang penghuni dipercayai warga asing yang tidak menyenangi kucing jalanan yang berlegar di sekitar rumah didiaminya.

“Satu laporan polis dibuat secara rasmi di Balai Polis Batu 9 Cheras, Hulu Langat jam 1.11 pagi semalam supaya satu siasatan terperinci pihak polis dapat dilakukan dengan kadar segera.

“Persatuan Haiwan Malaysia menuntut tindakan pantas bagi memastikan Sistem Keadilan Jenayah Haiwan Malaysia berjalan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Persatuan Haiwan Malaysia juga mahu supaya tiada toleransi serta pihak berkuasa tidak mengambil ringan terhadap jenayah haiwan kerana membimbangi ia menjadi trend dan melarat menjadi jenayah terhadap manusia.

“Selain itu jenayah haiwan adalah satu jenayah berat yang ada peruntukan dalam undang-undang dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights