PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang dijangka menerima gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke-64 esok.
Kit Siang, dilaporkan menyertai raptai penganugerahan darjah kebesaran itu dan gambarnya turut dikongsikan bekas Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Berdasarkan hantaran berkenaan, Jeff Ooi memaklumkan bahawa Kit Siang melakukan raptai dengan menggelarkan bekas Pengerusi DAP itu sebagai Tan Sri.
“Keluarga veteran Lim. Tan Sri Lim Kit Siang (Raptai). Tun Lim Chong Eu. Tun Ling Liong Sik. Tun Lim Keng Yaik.
“Penganugerahan adalah pada hari Isnin, 5 Jun. Masih ada masa untuk membeli songkok.
“Songkok semasa raptai kelihatan tidak begitu muat dengan kepala beliau. Ia kelihatan seperti songkok budak, yang dipakai seorang bapa,” katanya di ruangan komen.
Jika benar beliau menerima gelaran Tan Sri, Kit Siang, 82, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di tujuh kawasan sejak 1969 hingga 2022, bakal melakar sejarah menjadi pemimpin DAP pertama dianugerahkan gelaran berkenaan.
Gelaran itu adalah darjah kebesaran persekutuan kedua tertinggi, selepas Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara, Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) atau Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, Seri Setia Mahkota membawa gelaran Tun. – Malaysiapost