Menghidupkan tradisi turath Islam

Dr Mohd Hamidi Ismail dan Wan Ruzailan Al Tumpati

KEDATANGAN mantan Mufti Besar Republik Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah sebagai tetamu kehormat Festival Turath Islami Selangor dan memimpin beberapa siri diskusi ilmiah, dilihat sebagai usaha penghayatan semula tradisi ilmu Islam di negara ini.

Beliau yang juga merupakan salah seorang anggota Hay’ah Kibar al-Ulama’ al-Azhar al-Sharif (Majlis Ulama Besar al-Azhar) terkenal sebagai tokoh ilmuwan yang giat menghidupkan kembali penghayatan terhadap adab dan keilmuan turath Islam.

Ironinya, sungguhpun sebutan tunggal ‘turath’ menggambarkan peninggalan lama, pewarisan lampau dan diragui kesesuaiannya, tetapi bilamana digandingkan dengan perkataan ‘Islam’, ‘turath’ tidak lagi menggambarkan kejumudan.

Inilah yang dilakukan oleh Dr Ali Jum’ah dalam karyanya al-Madkhal dengan mentakrifkan turath Islam sebagai “natijah inteligensia muslimin sepanjang zaman”.

Ia memberi maksud bahawa peninggalan terdahulu umat Islam, sama ada dalam bentuk manuskrip, monumen, arca, ukiran dan banyak lagi, masih menjadi bahan kajian pengkaji dan sarjana seluruh dunia, termasuk daripada belahan Barat seperti Dionisius A. Agius, Profesor Emeritus Universiti Malik Abdul Aziz, Jeddah dan  Richard Hitchcock, Profesor Emeritus Universiti Exeter.

Menurut Qasim Abdah dalam pengantar Turath al-Islam, sehingga kini judul ‘turath Islam’ masih terbuka memberi peluang kepada dunia mengkaji tentang peninggalan umat Islam yang mana secara tidak langsung membuktikan khazanah turath Islam tidak kering ketandusan, sekaligus mengangkat legasi Arab-Islam  diminati pengkaji dunia moden-Barat.

Kekuatan turath islami terletak pada pengaruhnya yang kekal melestarikan hidup dan ibadat umat Islam secara khusus.

Prof Dr Khalid Fahmi dalam Madkhal ila al-Turath al-‘Arabi al-Islami menerangkan bahawa kekuatan itu diperolehi daripada mukjizat kubra al-Qur’an.

Oleh itu, turath islami tidak sahaja menjadi sumber keintelektualan umat Islam malah sumber kepada psikologi, politik, ekonomi dan kehidupan mereka. Al-Qur’an selamanya merupakan roh serta nyawa bagi turath islami sehingga Dr Ramadhan Abdul Tawwab dalam kajiannya mengungkapkan “jikalau bukan kerana al-Qur’an nescaya tiada peradaban Arab”.

Selain al-Quran, ciri kekuatan pada turath islami terletak pada kesyumulan dan kejituan pengetahuan yang disumbangkannya.

Terdapat tiga bahagian disiplin ilmu yang disumbangkan oleh turath islami iaitu; ilmu al-Ghayat (objektif) seperti Ilmu Akidah, Fikah, Tafsir dan Hadis; ilmu al-Alat (instrumen/medium) seperti Ilmu Nahu, Soraf, Usul Fiqh, Ulum Tafsir dan Mustalah Hadis; dan ilmu al-Hikmah (hikmah) iaitu kelebihan dan keistimewaan daripada ilmu-ilmu di atas.

Setiap disiplin ilmu ini masih dikekalkan pembelajarannya sehingga ke hari ini sekalipun ilmu-ilmu moden muncul dan tenggelam, mengisyaratkan turath islami kekal bertahan melalui pengajaran dan pembelajaran, subjek dan sukatan mata pelajaran serta rujukan.

Sesungguhnya restorasi istimewa yang mengekalkan turath islami sedemikian ialah ayat al-Qur’an al-Karim yang bermaksud: “Kamilah (Allah) yang menurunkannya (al-Qur’an) dan Kamilah yang menjaganya” (al-Hijr:9).

‘Menjaga’ dengan jaminan terhadap al-Qur’an serta cabang-cabang ilmu yang berkait dengannya.

Biarpun turath islami mempunyai keistimewaan yang luar biasa, ia tetap tidak menjadi kebanggaan sebahagian besar umat Islam.

Mereka lebih gemar membesarkan peradaban Barat malah  tidak segan menolak di samping merendah-rendahkan legasi peninggalan umat Islam.

Prof Dr Ali Jum’ah menyifatkan umat Islam sebegini sebagai orang yang tidak pernah memahami tentang turath.

Mereka menjadi batu penghalang pada perkembangan turath islami, sama seperti kumpulan yang menerima turath tanpa kefahaman, yang terikut-ikut dengan senior dan generasi lama yang hanya memuliakan tulisan tetapi tidak isi kandungan.

Bagi menghidupkan turath islami, Prof Dr Ali Jum’ah menggariskan beberapa syarat yang mesti dipenuhi oleh pembaca-pembaca turath:

  1. Dapat menggambarkan keseluruhan latar situasi yang dialami oleh penulis-penulis turath. Gambaran terbabit mampu memberikan kefahaman mendalam kepada pembaca turath tujuan penulisan suatu bahan turath dan idea yang terkandung dalam bahan tersebut.
  2. Mempunyai perspektif menyeluruh terhadap epistemologi ilmu yang dipersembahkan oleh sesebuah bahan turath. Epistemologi lengkap ini sukar ditemui dalam sebuah buku sahaja kerana pembentukan sebuah epistemologi ilmu mengambil masa yang panjang, melibatkan ilmuwan yang ramai dan tidak terikat dengan aliran-aliran tertentu.

Sebagai contoh pengumpulan dan penyusunan  epistemologi Ilmu Fikah dan Lughah, telah mengambil masa selama 50 tahun dan dilakukan analisis melalui disertasi Sarjana atau Kedoktoran Falsafah sehingga ke hari ini.

Keupayaan mengenal epistemologi ilmu yang dipersembahkan oleh sesebuah bahan turath merupakan kunci utama bahan turath tersebut dapat dihurai dan dimanfaatkan.

  1. Menguasai istilah-istilah yang dimuatkan dalam bahan turath berdasarkan penggunaan istilah-istilah terbabit mengikut zaman pendefinisian dan aliran pemikiran.

Kegagalan menguasai istilah-istilah bahan turath memberi impak negatif pada tahap pembacaan dan pemahaman bahan turath.

  1. Berkemahiran dalam pelbagai disiplin ilmu memandangkan sesebuah bahan turah islami ditulis oleh ilmuwan yang memiliki keluasan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Kelemahan ramai orang dalam hal ini disebabkan mereka tidak mendapat pendedahan ilmiah sepertimana para ilmuwan silam.

Hari ini ramai pelajar yang membaca bahan turath terdiri daripada mereka yang menghabiskan beberapa puluh atau ratus jam kredit bagi satu mata pelajaran. Ia sangat berbeza daripada apa yang dilakukan oleh para ilmuan terdahulu.

  1. Berkebolehan mengenal sintaksis bahasa dan dialektik yang dipersembahkan oleh bahan turath. Ia berkaitan dengan falsafah dan gagasan pemikiran yang mahu disampaikan oleh penulis.

Daripada kebolehan ini, pembaca turath dapat mengelaskan tahap sesebuah bahan turath dari sudut bahasa dan isi kandungannya.

Dengan syarat-syarat yang disebutkan ini, menghidupkan turath islami bukan sahaja menghidupkan pembacaannya malah menghidupkan pemikiran berkualiti silam dalam kehidupan realiti umat Islam.    

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) (Dr Mohd Hamidi) dan pendakwah bebas (Wan Ruzailan)

(Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights