DEWAN Muslimat Pas Malaysia menyeru pimpinan Umno untuk kembali memegang prinsip perjuangan dan mengangkat wibawa kepimpinan ke tempat yang tinggi.
Ketuanya Nuridah Mohd Salleh, berkata pemimpin Umno tidak harus menggadai maruah dan prinsip perjuangan semata-mata kerana jawatan yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan (PH).
“Pimpinan Umno harus sedar biarpun memegang kuasa, tangan mereka diikat ketat oleh pimpinan parti lain di dalam PH agar mengikut telunjuk mereka.
“Perkara ini semua dapat dilihat dengan jelas sepanjang mereka berada dalam Kerajaan perpaduan yang ada sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nuridah juga berpendapat, sudah sampai masanya ahli Umno tidak membiarkan nasib diri ditentukan oleh pemimpin mereka yang bermasalah.
“Mereka (pemimpin Umno) sedaya upaya berusaha untuk melepaskan tengkuk mereka sahaja.
“Cukuplah tempoh selama lebih enam bulan Umno berkhemah di bawah jajaran khemah besar yang ternyata cantik di luar namun penuh kekotoran di dalamnya,” katanya.
Beliau menyeru agar ahli Umno bersatu di bawah payung kesatuan Islam dan Melayu yang meletakkan asas kesatuan demi perpaduan ummah.
“Umno harus sedar dalam kemelut negara sekarang yang dilanda krisis ekonomi yang teruk di mana nilai ringgit semakin jatuh di mana kapitalis hanya berfikir mengaut untung.
“Pimpinan Umno harus meletakkan di tepi sentimen peribadi sebaliknya meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.
“Umno harus mengambil langkah berani untuk bersama blok yang betul demi survival agama, bangsa dan negara,” katanya. – Malaysiapost