SEKTOR makanan halal dalam negara dilihat terus berkembang apabila jualannya dijangka mencecah RM50 bilion pada tahun ini, sekali gus berpotensi mencapai status pusat industri halal global.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, bagi tujuan itu pelbagai inisiatif dilancarkan kerajaan untuk meningkatkan kualiti produk halal.
“Kerajaan akan terus memainkan peranan penting dalam mempromosi industri halal supaya dapat menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Karnival Mega Fatwa dan Halal Peringkat Kebangsaan 2023 serta Pelancaran Sahabat Halal Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.
Mohd Na’im berkata, penganjuran karnival berkenaan bertepatan dengan semangat yang ingin dibawa apabila semua pihak berkepentingan bergabung tenaga, usaha dan idea untuk mengangkat agenda kesedaran halal negara kepada masyarakat.
“Antara peranan penting Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ialah pengurusan sijil halal Malaysia.
“Kita juga melaksanakan dan memperkasa pelbagai program pendigitalan melalui aplikasi sistem MyeHALAL yang membantu usahawan dalam menjimatkan masa dan menyenangkan proses memohon persijilan Halal Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Jakim juga membangunkan dua aplikasi halal Malaysia iaitu SmartHalal dan Verify Halal yang menjadi rujukan pengguna dan industri bagi memperoleh info berkaitan pensijilan halal negara.
“Kedua-dua aplikasi ini adalah model aplikasi carian halal yang praktikal dan boleh digunakan oleh masyarakat untuk mengesahkan status halal sesuatu produk sebelum membelinya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penubuhan Sahabat Halal IPT adalah sesuatu yang tepat pada waktunya dengan peranan menjadi jurucakap Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri.
“Apabila meletusnya apa juga isu halal dalam masyarakat, Sahabat Halal IPT akan menjadi pasukan yang menyebarkan maklumat rasmi daripada Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri.
“Saya minta Jakim untuk bawa program Sahabat Halal IPT ke seluruh IPT di Malaysia dengan USIM sebagai peneraju kepada program ini,” katanya. – Malaysiapost