Noh Omar harus contohi panglima perang Islam – Jamal

BEKAS Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar tidak harus berpaling arah, sebaliknya perlu mencontohi sikap Panglima Perang, Saidina Khalid al Walid yang taat kepada kepimpinannya.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos juga berharap, Noh dapat merenung kembali dan mengambil jalan yang terbaik serta titik perjuangan Umno, bukannya mengharapkan habuan pangkat semata-mata.

“Saidina Khalid al Walid merupakan seorang tokoh hebat dalam medan peperangan dan dilantik sebagai Panglima Perang sebelum zaman pemerintahan Saidina Umar al Khattab.

“Namun setelah takhta khalifah diwariskan kepada Saidina Umar al Khattab, beliau bertindak memecat Saidina Khalid al Walid dengan menggantikan Abu Ubaidah untuk jawatan tersebut.

“Setelah dipecat, Saidina Khalid al Walid menerimanya dengan tenang, tetap taat terhadap kepimpinan dan terus bersama serta tidak lari daripada perjuangan sebelumnya, ” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang yang sepentas bersama Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor akan datang.

Memperincikan perjuangan pemimpin Islam itu, Jamal berkata, Noh harus yakin bahawa peperangan politik yang beliau lalui sebelum ini bukan untuk habuan dunia, tetapi habuan akhirat.

“Tidak dinafikan sumbangan dan jasa Noh yang begitu banyak kepada Umno, malah beliau juga telah menerima nikmat ketika berkhidmat dalam parti,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights