TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan beliau tidak akan bertanding mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Beliau berkata, walaupun baharu dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, jawatan itu bukan batu loncatan untuk bertanding dalam PRN.
Sebaliknya, katanya, tugas beliau untuk memastikan jentera pilihan raya Bersatu dan PN dapat digerakkan dengan cekap dan berkesan di negeri itu.
“Saya hendak umumkan walaupun saya telah dilantik memegang jawatan Bersatu dan PN di negeri ini (Negeri Sembilan), saya boleh membuat pengakuan bahawa saya tidak akan bertanding mana-mana kerusi di keenam-enam negeri.
“Tugas saya adalah menghambakan diri untuk menggerakkan jentera parti bagi hadapi PRN. Itu sahaja,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, hari ini.
Untuk rekod, ia mesyuarat sulung yang dipengerusikan oleh Ahmad Faizal selepas menggantikan Datuk Eddin Syazlee Sith.
Ahmad Faizal menjelaskan, pimpinan tertinggi Bersatu telah membuat keputusan supaya beliau menggantikan Eddin Syazlee dengan tujuan melicinkan gerak kerja PRN di negeri ini.
“Kami tidak mempunyai apa-apa masalah dari segi kepemimpinan di Negeri Sembilan sebelum ini.
“Namun kami melihat potensi PN untuk menawan kerajaan negeri cukup besar dan telah menetapkan agar kepimpinan pusat datang membantu jentera pilihan raya di semua kerusi DUN di Negeri Sembilan,” katanya. – Malaysiapost