5 maut termasuk kanak-kanak 2 tahun nahas di Sibu

KANAK-KANAK lelaki berusia dua tahun antara lima maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Bintulu-Sibu, Sarawak hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.09 pagi itu, kereta Perodua Myvi bertembung dengan Kia Sportage membabitkan 10 orang mangsa.

Menurutnya, mangsa maut yang menaiki kereta Perodua Myvi dikenali sebagai Allesandro Collin Stewart, 2 dan Alicesha Bathrish Langi, 24.

Beliau berkata, tiga lagi mangsa yang turut terkorban ialah penumpang kereta Kia Sportage dikenali sebagai Marcos Marican, 26, Marican@Langkan Legi, 61, dan seorang lagi lelaki yang belum dikenal pasti identiti.

“Empat mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala kanak-kanak lelaki meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lima lagi mangsa mengalami kecederaan termasuk seorang daripadanya dilaporkan parah.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dengan bantuan BBP Sungai Merah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 10.09 pagi.

Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba kemudian mengeluarkan seorang wanita yang tersepit dalam Perodua Myvi.

“Pemeriksaan oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang parah dikejarkan ke Klinik Kesihatan (KK) Selangau, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, tiga lagi mangsa kereta Kia Sportage turut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mayat kelima-lima mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights