Agong zahir gusar isu kalimah Allah

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran dengan isu penggunaan kalimah Allah gagal diselesaikan segera, bakal menjadi polemik berlarutan sehingga boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara.

Seri Paduka Baginda bertitah, polemik penggunaan kalimah Allah bukan merupakan perdebatan berhubung terminologi dan linguistik, sebaliknya berhubung isu akidah umat Islam dan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan Baginda hendaklah mengharmonikan situasi semasa dan pada masa yang sama meletakkan penggunaan kalimah Allah pada konteks yang betul.

Seri Paduka Baginda bertitah, ia dengan mengambil kira keselamatan negara, kemaslahatan ummah dan kedudukan Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu lain sebagai Ketua Agama Islam.

“Negara kita Malaysia sememangnya dikenali dunia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian agama, bangsa, bahasa dan budaya.

“Ciri-ciri kepelbagaian ini adalah merupakan satu keunikan yang menjadi tarikan kepada negara lain untuk lebih mengenali dan menjalin hubungan dengan Malaysia secara lebih akrab.

“Namun demikian seandainya, kepelbagaian dan kerencaman landskap masyarakat ini tidak harmoni di bawah konsep kesatuan dan perpaduan maka ianya berpotensi mencetuskan prasangka, konflik, perbalahan dan pertelingkahan yang akhirnya menghakis rasionaliti, mencabar keharmonian dan menggugat kestabilan yang setelah sekian lama terbina,” titahnya

Seri Paduka Baginda bertitah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, justeru pembentukan perpaduan dalam landskap demografi yang kompleks dengan kepelbagaian hendaklah dilaksanakan dalam konteks menyeluruh, holistik dan bukan bersifat retorik serta kosmetik semata-mata.

“Bagi mencapai hasrat tersebut kita hendaklah mengurangkan perbezaan sesama kita sebagai rakyat Malaysia. Selanjutnya kita hendaklah menanamkan semangat akomodasi serta toleransi dalam kehidupan seharian,” titahnya.

Seri Paduka Baginda berkata, semangat perpaduan perlu disemai serta dibentuk di rumah dan selanjutnya dibaja dan disiram dengan pendidikan serta nilai-nilai murni hidup bermasyarakat di bangku sekolah dan seterusnya diperkasa di institusi-institusi pengajian tinggi.

“Perpaduan memerlukan resepi yang efektif dengan hati yang terbuka, jiwa yang luhur dan semangat kesetiaan kepada raja dan negara.

“Lebih penting lagi, kita hendaklah tidak mempersoalkan apatah lagi mencampuri dan memandang rendah urusan serta kepercayaan agama yang diamalkan oleh bangsa lain,” titahnya.

Seri Paduka Baginda berpesan sebarang polemik berhubung kait agama jika gagal ditangani segera adalah umpama sumbu yang akhirnya bakal menyalakan api permusuhan antara kaum.

“Berhadapan dengan isu sensitif seperti ini semua pihak sewajarnya mengambil pendekatan yang bijak lagi tertib dan disulami dengan semangat toleransi yang tinggi,” titahnya.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ketinggian dan kesucian agama Islam sekian lama terpelihara dalam pembentukan negara Malaysia merdeka sehingga Islam akhirnya didaulatkan sebagai agama Persekutuan iaitu termaktub dalam Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan seperti mana tercatat lipatan sejarah.

“Kedudukan agama Islam yang ditempatkan pada darjat yang amat tinggi di dalam Perlembagaan Persekutuan dicapai menerusi persefahaman dan persetujuan oleh semua pihak ketika negara memperolehi kemerdekaan.

“Ia adalah merupakan kesepakatan yang tercatit dalam lipatan sejarah bagi menentukan norma hidup bermasyarakat pasca kemerdekaan.

“Justeru, beta berasa gusar dengan isu penggunaan kalimah Allah yang jika gagal diselesaikan segera, bakal menjadi polemik berlarutan sehingga boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara,” titahnya.

Seri Paduka Baginda berkata, prinsip pertama Rukun Negara adalah kepercayaan, jelasnya konsep agama adalah amat penting dalam masyarakat Malaysia dan agama tidak sewajarnya dijadikan asas kepada pertikaian dan perbalahan.

“Demi perpaduan dan masa hadapan negara sebarang polemik agama hendaklah diselesaikan dengan segera.

“Perpaduan dalam kepelbagaian adalah merupakan aset utama negara yang perlu dipertahankan. Janganlah kita berterusan mengapi-apikan sentimen dan polemik yang boleh meruntuhkan fabrik sosial kepelbagaian masyarakat majmuk di negara ini,” titahnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights