PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ‘mengumumkan’ Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dibubarkan pada 19 Jun ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antrabangsa, bertindak mendahului Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shaari dalam mengumumkan tarikh penting itu.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bukan sebarang pilihan raya..kerana pilihan raya boleh diadakan lima tahun sekali dan negeri Selangor insha-Allah akan dibubarkan pada 19 Jun ini.
“Tak payah tunggu Amirudin umum biar saya umum pada malam ini,” katanya ketika berucap di Program Jelajah Selangor Baharu di Kompleks Pas Tanjong Karang, malam tadi.
Menurutnya, pilihan raya kali ini lebih istimewa kerana ia menjadi referendum rakyat untuk menyatakan kemarahan yang luar biasa terhadap kerajaan ‘luar tabii’.
Beliau mendakwa, umum mengetahui Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terbentuk atas kepalsuan dan penipuan, kerana PN yang menang besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
“PN menang 74 kerusi dan dengan sokongan Sabah dan Sarawak blok Borneo serta parti-parti lain kita telah berjaya mendapat 115 sokongan.
“Tapi mengapa kita tidak berada di situ (kerajaan)? Rakyat melihat bila diberikan kuasa..lintang pukang. Kita pernah dengar janji yang diberikan ketua Madani pada hari ini. Saya nak bongkar siapa Anwar Ibrahim.. bapak pembohong
“Saudara pernah dengar “hari ini saya jadi Perdana Menteri esok minyak turun”. Dah enam bulan berlalu minyak turun atau tak turun?” soalnya sinis.
Azmin berkata, pelbagai masalah rakyat dan negara tidak dapat diselesaikan berbanding kerajaan PN yang berjaya menyelamatkan rakyat yang berdepan tiga krisis besar iaitu ekonomi, politik dan pandemik ketika itu.
“Dah enam bulan dia buat apa? Menyanyi, ada menteri naik basikal dalam pejabat..saudara gelak, ini realiti bukan fitnah. Ini menteri apa?
“Masalah inflasi tak selesai, kos sara hidup tak selesai, ringgit tak selesai, Kadar Dasar Semalaman (OPR) tak selesai, ekonomi tak selesai. Yang diburu ialah pimpinan PN,” katanya.
Beliau berharap perhimpunan yang diadakan akan menjadi satu tekad baru bagi merampas negeri-negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) terutama Selangor.
“Kalau Amir (Amirudin) tengok malam ini saya ingat dia ‘seriau’..dia pun dah tahu, sebab itu dua hari lepas dia sendiri buat kenyataan dia dan Exco kerajaan negeri telahpun kemaskan bilik masing-masing.
“Kami tak suruh kemas..kami tak suruh simpan sebab kami nak tengok apa dokumen yang kamu kemas itu,” katanya.
Menurutnya, Menteri Besar Selangor itu sedar dengan persepsi dan laporan yang mengatakan hampir kesemuanya mengesahkan PN akan membentuk kerajaan baru di Selangor.
“Kerana mereka dah saksikan PN bila diberi tempoh dua tahun banyak benda yang dibuat. Enam bulan PH ini tak buat apa pun.
“Kalau diumumkan PRN awal bulan atau pertengahan Ogos, insha-Allah PN akan membentuk kerajaan baru di Selangor,” katanya. – Malaysiapost