Hanya tinggal 239 hari lagi sebelum Agong, Raja Permaisuri balik ke Pahang

HAMPIR lima tahun memayungi negara sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berangkat pulang ke Pahang tidak lama lagi.

Seri Paduka Baginda bertitah, sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini melambangkan citra untuk mendaulatkan institusi Yang di-Pertuan Agong yang masih kekal sebati disetiap sanubari rakyat Malaysia.

“Institusi Yang di-Pertuan Agong ialah kesinambungan sistem kerajaan dan pemerintahan yang telah berakar subur di negara ini untuk sekian lamanya.

“Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong diantara sembilan Raja-Raja Melayu yang diwarisi dan diamalkan sejak kemerdekaan negara telah menjadi bukti kekuasaan dan jawatan bukanlah bersifat mutlak.

“Namun, institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara adalah merupakan tiang seri kepada perpaduan melangkaui kaum, bangsa dan agama,” titahnya pada Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, institusi berkenaan adalah pemusatan dan tumpuan kesetiaan yang tidak berbelah bagi oleh kerajaan persekutuan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seluruh rakyat jelata.

“Ianya satu mercu tanda yang melindungi Perlembagaan Persekutuan, menjadi sumber keadilan, tonggak kestabilan dan penjaga kepada amalan demokrasi negara.

“Lebih utama Yang di-Pertuan Agong adalah pelindung kepada sekian rakyat. Yang di-Pertuan Agong adalah umpama obor yang sentiasa menyinari negara agar tidak tergelincir dari acuan Perlembagaan Persekutuan serta idealisme masa depan negara,” titahnya.

Baginda menzahirkan kesyukuran kerana telah dianugerahkan taufik dan hidayah, kudrat serta keafiatan daripada Allah SWT untuk melaksanakan amanah besar memayungi Malaysia selama hampir lima tahun lamanya.

“Dalam perkiraan beta, hanya tinggal 239 hari lagi sebelum beta berdua balik ke kampung, ke negeri Pahang,” titahnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights