Kerajaan tak mahu buat keputusan tentang pengampunan Najib – KJ

SINDIRAN atau serangan terbuka terhadap pimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika ini yang dibuat beberapa pemimpin Umno dilihat mungkin ada kaitan dengan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, berkata keadaan itu dapat dilihat melalui ‘sindiran’ terbaru Ahli Majlis Tertinggi Umno (MKT) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi  terhadap Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung ekonomi negara.

“Saya lihat sindiran-sindiran ini datangnya dari puak-puak ‘Bossku” (Najib).

“Untuk pengetahuan semua dinamik politik dalaman Umno, Puad ini adalah ‘team’ Bossku. Saya rasa dia lebih dahulu Bossku daripada Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam  program podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dihoskan bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan.

Menurutnya, sindiran juga datang daripada veteran Umno Tan Sri Shahrir Samad berkaitan kejatuhan nilai ringgit yang turut dituju kepada Rafizi.

“Shahrir Samad juga team Bossku. Jadi saya nampak sindiran ini banyak daripada team Bossku. Ada dua sebab mungkin team Zahid mereka lebih ‘melabur’ dalam Kerajaan Perpaduan kerana beliau Timbalan Perdana Menteri.

“Mungkin team Bossku dah tak sabar sangat nak selesaikan isu pengampunan,” katanya.

Khairy mendedahkan, beliau difahamkan apa yang berlaku sekarang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak mahu membuat keputusan tentang pengampunan Najib.

“Sebab jika mereka panggil Mesyuarat Lembaga Pengampunan dan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya pengampunan perlu diberi itu akan mengundang reaksi negatif dikalangan sebahagian rakyat.

“Kalau mereka nasihat Agong beri pengampunan itu akan undang reaksi negatif terutama dikalangan penyokong PH, namun kalau nasihat tak beri pengampunan akan undang rekasi negatif orang Umno dan penyokong kuat Bossku,” katanya.

Menurutnya, difahamkan ‘arahan’ telah diberikan kepada Lembaga Pengampunan supaya tidak membawa fail pengampunan Najib buat masa ini.

“Gunalah apa-apa alasan laporan tak lengkap dan sebagainya kerana tak nak buat keputusan. Mungkin ini (sindiran) adalah tanda-tanda ketidaksabaran penyokong-penyokong Bossku. Saya tak tahu,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights