KJ pertimbang tubuh parti baharu

BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan parti baharu sebagai salah satu pilihan untuknya kembali aktif dalam politik.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau mempertimbangkan keputusan berkenaan selepas melihat senario politik yang tepu.

Menurut Khairy atau KJ berkata, sekiranya menyertai parti politik lain, beliau mungkin terpaksa menyesuaikan diri untuk mengikuti ‘adat resam’ parti itu.

Namun, sekiranya menubuhkan parti baharu, beliau berkata, ia akan diadakan mengikut terma dan syaratnya sendiri.

“Sejak beberapa minggu ini, saya sedang melihat pilihan itu. Mungkin beberapa bulan sebelum ini saya agak berat (menubuhkan parti baharu) kerana saya nampak pasaran politik ketika ini agak tepu.

“Tetapi saya melihat sekiranya kita dapat permulaan dalam parti politik, kenapa tidak dengan terma sendiri.

“Mungkin parti itu tidak 100 peratus seperti yang kita mahu, seperti dalam Umno dahulu. Walaupun saya tidak kesal memilih Umno tetapi kita juga terpaksa menyesuaikan diri dalam parti itu.

“Jadi apabila kita dapat peluang kedua, mungkin kita boleh lakukan dengan terma kita sendiri,” katanya menerusi siaran podcast `Keluar Sekejap’.

Mengulas lanjut, Khairy tidak menafikan, parti yang ditubuhkannya berkemungkinan akan menemui kegagalan dalam persaingan pilihan raya, seperti berlaku terhadap Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“Jika kita tubuhkan parti baharu, kita mungkin menjadi seperti Pejuang. Maaf untuk katakan (parti itu) hilang deposit, orang gelakkan namun kepuasan itu lebih, sebab dibuat secara ‘on our own terms’.

“Jadi apabila kita bermula dengan parti sendiri, sudah tentu kita kena bersedia untuk tidak menang dalam beberapa pilihan raya. Mungkin satu hari nanti, siapa yang tahu,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights