KJ, Shahril puji Dr Akmal tak jemput parti lain ke Persidangan Pemuda

PENDIRIAN Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung tidak menjemput wakil parti lain dalam Kerajaan Perpaduan menghadiri persidangan sayap Pemuda pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023, dipuji Khairy Jamaluddin.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu, berpendapat pendirian berkenaan adalah sesuatu yang berani dan bermaruah yang perlu ditunjukkan pemimpin sayap penting Umno.

“Saya ucapkan tahniah kepada Dr Akmal dan saya telah menghantar mesej kepada beliau mengatakan ini barulah pendirian Ketua Pemuda yang berani dan ada maruah.

“Saya kata beliau adalah pengganti yang layak, yang sebelum ini (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) tidak layak,” katanya dalam program podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dihoskan bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan.

Khairy berkata, alasan tidak menjemput wakil parti lain kerana ingin menyelesaikan hal ‘adik beradik’ dahulu sebelum menjemput orang luar datang dan masuk ke ‘rumah’ adalah wajar.

Menurutnya, Dr Akmal secara tidak langsung mengakui bahawa bukan semua ‘beres’ dalam Umno.

“Maknanya ada banyak isu yang perlu diselesaikan terutamanya biarlah perwakilan meluahkan perasaan daripada akar umbi tentang kerajaan campuran, tentang kerjasama dengan DAP dan PKR.

“Belum ada apa-apa lagi terus jemput dan meraikan..sebab jemputan ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) ini ia adalah untuk rakan-rakan Umno,” katanya.

Beliau berkata, ucapan perasmian biasanya dihadiri oleh presiden-presiden parti komponen, wakil luar negara dan wakil-wakil dari parti yang rapat dengan Umno.

“Tetapi tidak pernah jemput mereka yang pernah menjadi seteru Umno. Pas pernah dijemput selepas Umno memeterai Muafakat Nasional (MN)

“Tetapi saya nampak MN tidak mengundang reaksi dan kurang selesa di kalangan akar umbi. Akar umbi sekarang ini dalam keadaan tidak selesa, mereka faham kenapa perlu ada kerajaan campuran tetapi mereka tidak selesa dengannya.

“Jadi apa yang Dr Akmal sebut biarlah selesaikan semua itu dulu, bukan dia kata tak setuju suatu hari nanti mereka boleh dijemput. Tetapi dia kata cukuplah ada Konvensyen Perpaduan, namun untuk majlis keramat ini tak perlu ada,” katanya.

Khairy berkata, beliau difahamkan Dr Akmal ditegur oleh Ibu Pejabat Umno termasuk Setiausaha Agung dan Setiausaha Kerja serta beberapa orang yang rapat dengan presiden, namun tetap berpendirian tidak akan jemput untuk persidangan Pemuda.

“Kesimpulannya daripada tidak menyetujui Dr Akmal sebagai Pemuda Umno kerana dilihat sebagai pilihan ‘maharaja’ dan ‘rejim’ tetapi kami kini kagum dengan beliau,” katanya.

Shahril pula kagum dengan pendirian dibuat Ketua Pemuda Umno itu yang sebelum ini dilihat hanya akur dengan kepimpinan parti.

“Dr Akmal dalam hal ini mencerminkan pandangan saya tentang dia iaitu mungkin dia calon pilihan Setiausaha Agung yang juga bekas Ketua Pemuda Umno. Mungkin dia juga pilihan Presiden semasa pemilihan.

“Tetapi beliau juga mungkin ada kecenderungan melawan yang mana boleh membawa kepada situasi di mana dia tidak akan ikut membuta tuli.

“Ini kali pertama kita lihat dia ambil jalan yang berlainan dan adakah beliau konsisten atau selepas teguran beliau terpaksa kendur,” katanya.

Shahril juga tanpa berselindung menyuarakan bahawa beliau tidak ‘sebulu’ dengan Asyraf Wajdi.

“Zahid (Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dia nak tikam dia berdepan, tetapi Asyraf Wajdi yang tak ada kena mengena tetapi masuk dari belakang..kita pun tahu dia jumpa presiden sebelum keputusan pemecatan dan penggantungan.

“Geng-geng yang baling batu sembunyi tangan ini tak ‘style’. Orang yang lakukan sesuatu secara senyap ini bagi saya tiada standard,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: The Star

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights