Laporan tragedi tanah runtuh Batang Kali siap akhir bulan ini

LAPORAN tragedi tanah runtuh di Batang Kali, pada Disember lalu, dijangka diperoleh akhir bulan ini sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata laporan berkenaan akan dimuktamadkan bagi membolehkan semua pihak terbabit mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya memahami banyak pihak, termasuk keluarga mangsa yang terjejas ingin mengetahui atau mendapatkan laporan akhir berhubung kejadian berkenaan.

“Saya memberi jaminan, Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melakukan usaha yang terbaik untuk melengkapkan proses ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kementeriannya melalui JKR dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan berkaitan kini dalam peringkat penyediaan draf laporan akhir.

Alexander berkata, antara elemen yang diambil kira dalam menyiapkan laporan itu adalah kerja ujian penyiasatan tanah di lapangan dan makmal serta penganalisaan data.

“Data daripada ujian itu penting untuk dianalisis bagi menentukan mekanisme kegagalan oleh pelbagai pakar, termasuk dari aspek kejuruteraan geoteknik dan geologi,” katanya.

Baru-baru ini, mangsa dan waris tragedi tanah runtuh itu menyuarakan kekecewaan mereka terhadap kelewatan pihak berkuasa mengeluarkan hasil siasatan.

Dalam kejadian pada 16 Disember 2022, seramai 31 mangsa terkorban manakala 61 terselamat dalam tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights