LELAKI yang cuba menyelamatkan dua kanak-kanak di Pantai Bagan Lalang, Sepang semalam, ditemui lemas berhampiran sebuah pusat peranginan pagi tadi.
Mayatnya ditemui orang awam kira-kira jam 9.30 pagi dalam keadaan terapung sebelum dinaikkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Faizal Mahasan, 29.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa disambung semula pada jam 7 pagi selepas ditangguhkan malam tadi akibat cuaca gelap,” katanya hari ini.
Menurutnya, mangsa dipercayai lemas selepas cuba menyelamatkan dua kanak-kanak yang mandi di pantai berkenaan.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang semalam, dua beradik masing-masing berusia tujuh dan sembilan tahun ditemukan lemas oleh nelayan dan orang awam.
Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Airis Nuraini, 9, dan Aisyah Tasnim Mohd Zafifi, 7. – Malaysiapost